Delegasi UTHM dan PRSB Mengadakan Kunjungan Kerja ke Hokkaido Universiti, Jepun
FKEEevents | 25-29.11.2025 | Delegasi gabungan daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan pihak industri Petronas Research Sdn Bhd (PRSB) telah mengadakan kunjungan kerja ke Hokkaido University, Jepun bagi tujuan penanda aras dan pengukuhan kerjasama penyelidikan antarabangsa. Lawatan ini berlangsung dari 25 hingga 29 November 2025 dan melibatkan sesi libat sama bersama penyelidik dan pelajar dari Pusat Penyelidikan Shamsuddin – Mikroelektronik dan Nanoteknologi (MiNT-SRC), Institut Kejuruteraan Integrasi, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan. Bidang tumpuan lawatan adalah berkaitan teknologi plasma, bahan termaju dan tenaga. Disamping lawatan penyelidikan, delegasi ini diketuai oleh Prof. Dr. Nafarizal bin Nayan dari Pusat Pengurusan Penyelidikan, UTHM juga cuba mendapatkan peluang pendanaan geran penyelidikan antarbangsa.
LAWATAN AKADEMIK
- Laboratory of Plasma Processing for Environmental Technology
Delegasi telah memulakan lawatan akademik ke Laboratory of Plasma Processing for Environmental Technology, Division of Quantum Science and Engineering, yang dipimpin oleh Prof. Koichi Sasaki. Makmal ini terkenal dengan kepakaran dalam teknologi plasma suhu rendah (low-temperature plasma) pada tekanan atmosfera yang diaplikasikan untuk rawatan air dan udara, pemprosesan bahan, surface modification serta penyelesaian berkaitan alam sekitar.
Sesi perbincangan turut memberi ruang kepada penerokaan potensi kerjasama dengan UTHM, khususnya dalam bidang diagnostik plasma, interaksi plasma–bahan, aplikasi pensterilan, agroteknologi serta inovasi tenaga berasaskan plasma. - Laboratory of Energy Media, Centre for Advanced Research of Energy & Materials
Lawatan kedua telah diadakan di bawah penyeliaan Prof. Takahiro Nomura. Fokus utama penyelidikan makmal ini merangkumi:
• pembangunan bahan penyimpan haba berkapasiti tinggi,
• bahan penyimpan dan pemisah oksigen,
• teknologi penghasilan besi berasaskan ammonia,
• sintesis bahan baharu melalui kaedah pembakaran (combustion method), dan
• reka bentuk sistem industri berkecekapan tinggi bagi meminimumkan pembaziran tenaga.
Perbincangan turut menyentuh peluang kolaborasi akademik–industri serta penyertaan bersama dalam projek penyelidikan masa hadapan.
Sebagai sebahagian daripada pengisian lawatan, delegasi turut mengunjungi Otaru Music Box Museum bagi memahami sejarah, budaya dan warisan tempatan di wilayah Hokkaido.
SENARAI DELEGASI UTHM DAN PRSB
- Prof. Dr. Nafarizal bin Nayan – Pengarah, Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), UTHM & Penyelidik Utama MiNT-SRC, I2E, UTHM
- Dr. Noor Kamalia binti Abd Hamed – Pensyarah, Fakulti Teknologi Kejuruteraan, UTHM
- Dr. Riyaz Ahmad bin Mohamed Ali – Pensyarah, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, UTHM
- Dr. Zulkifli bin Azman – Pembantu Penyelidik, UTHM
- Ms. Natasya Salsabiila – Pelajar PhD, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, UTHM
- Dr. Jia Cherng Chong – Penyelidik, Petronas Research Sdn Bhd
Kunjungan kerja ini diharapkan dapat memperkukuh jaringan penyelidikan antarabangsa, meningkatkan keupayaan penyelidikan strategik UTHM-PRSB, serta membuka ruang kerjasama baharu antara UTHM dan Hokkaido University.
#FKEEUTHM
#FokusKualitiEndahEtika
#UTHMJohor
#UTHMproducesProfessional








