Skip to main content

FKEE Berganding Bahu Merancakkan Pendidikan STEM Melalui Pertandingan MAKEROBOT Peringkat Negeri Johor 2026

FKEEevents | 25.07.2026 | Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sentiasa menyokong aktiviti-aktiviti pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM). Terkini, FKEE menyumbang kepakaran teknikal dengan menjadi rakan kerjasama bagi Pertandingan MAKEROBOT Peringkat Negeri Johor 2026, pada 25 Julai 2026. Pertandingan yang berlangsung di Kahang Timur, Kluang ini dianjurkan bersama Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC), Pusat Pengajian Diploma (PPD) dan FKEE, dengan bantuan Sekolah Kebangsaan (SK) (Felda) Kahang Timur dan SK Tunku Mahmood 2, Kluang.

Penglibatan FKEE dalam program ini mendukung peranan UTHM dalam menyemai minat pendidikan STEM serta melatih kemahiran teknikal kepada murid sekolah seawal usia muda. Istimewanya, konsep MAKEROBOT yang diketengahkan oleh penyelidik UTHM ini merupakan satu kaedah pembelajaran yang lengkap bermula dengan pembangunan pengaturcaraan, diikuti oleh proses reka bentuk, fabrikasi robot menggunakan cetakan 3D, pemasangan komponen robotik serta aplikasi robotik melalui pendekatan permainan (gamification). Pendekatan praktikal dan tinkering ini dilihat dapat membantu mencungkil bakat teknikal generasi muda.

Pertandingan ini berjaya menarik penyertaan seramai 150 orang murid dari negeri Johor iaitu 30 orang murid prasekolah dan 120 orang murid sekolah rendah. Para peserta telah diuji minda dan bakat inovasi mereka menerusi tiga acara pertandingan, iaitu MAKEREQA prasekolah, MAKEREQA sekolah rendah dan MAKEROBOT Blitzball. Keputusan pertandingan adalah seperti berikut: Juara MAKEREQA prasekolah - SK Bukit Paloh, Kluang (Paloh Robo Explorers); Juara MAKEREQA sekolah rendah - SK Monfort, Batu Pahat (Robo Sparks); manakala Juara MAKEROBOT BLITZBALL - SK Tunku Mahmood 2 (BBSTMA2 B).

Selain memupuk minat pelajar terhadap bidang STEM, program seperti ini dapat mengeratkan hubungan antara warga UTHM dengan pihak sekolah dan komuniti, di samping meningkatkan imej universiti selaku peneraju bidang STEM dan pendidikan dan latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Adalah diharapkan sumbangan dan kerjasama FKEE bersama pusat tanggungjawab yang lain ini dapat memberi manfaat kepada murid dan guru, terutamanya dalam mendedahkan mereka kepada kemahiran teknikal yang diperlukan untuk menghasilkan produk inovasi.

Oleh: Dr. Tasiransurini binti Ab Rahman

#FKEEUTHM
#FokusKualitiEndahEtika
#UTHMJohor
#UTHMproducesProfessional
#MAKEROBOT2026
#ICRCUTHM
#PPDUTHM
#STEMUTHM
#UTHMPrihatin
#UTHMJohor

Makerobot5

Makerobot1

Makerobot2


Makerobot3

Makerobot4

Makerobot6


Makerobot7

Makerobot8

Makerobot9


Makerobot10

Makerobot11

Makerobot12

Makerobot13