FKEE Perkukuh Pembelajaran EV dan HEV Melalui Fasiliti Latihan Bertaraf Industri
FKEEevents | 10.06.2026 | Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuh peranannya dalam menyokong agenda mobiliti hijau negara melalui pembangunan fasiliti latihan dan pembelajaran berkaitan Kenderaan Elektrik (Electric Vehicle, EV) dan Kenderaan Elektrik Hibrid (Hybrid Electric Vehicle, HEV) yang dikendalikan oleh EV Research Centre (EVReC).
Fasiliti ini menyediakan peluang kepada para pelajar untuk mempelajari teknologi EV dan HEV secara lebih dekat melalui pendekatan pembelajaran berasaskan amali (hands-on). Antara aset utama yang tersedia termasuk kenderaan elektrik BYD, Toyota Prius HEV, komponen kenderaan (off-vehicle parts) bagi sistem EV dan HEV, pek bateri EV Nissan Leaf dan Honda HEV yang digunakan untuk tujuan latihan, demonstrasi dan penyelidikan.
Selain itu, pelajar turut didedahkan kepada pelbagai modul latihan merangkumi pengenalan teknologi EV dan HEV, prosedur keselamatan voltan tinggi, penyelenggaraan sistem bateri, diagnosis kerosakan menggunakan pengimbas (diagnostic scanner), sistem pengecasan AC dan DC, serta operasi dan penyelenggaraan sistem pemacu elektrik.
Bagi memastikan latihan dijalankan mengikut amalan industri sebenar, fasiliti ini dilengkapi dengan pelbagai peralatan sokongan termasuk sistem pengangkat kenderaan dua tiang (Two-Post Vehicle Lift), set peralatan berinsulasi sehingga 1000V, Personal Protective Equipment (PPE), peralatan pengujian voltan tinggi serta peralatan diagnostik khas untuk kenderaan elektrik.Pembangunan fasiliti ini turut mendapat sokongan rakan industri seperti SIB Mili Sdn. Bhd. dan Pentacrest Technology Limited (Hong Kong), sekali gus memastikan kandungan latihan dan teknologi yang digunakan sentiasa selari dengan perkembangan terkini industri automotif elektrik.
Dengan kemudahan ini, FKEE berhasrat melahirkan graduan yang kompeten, berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi keperluan industri EV yang berkembang pesat, selaras dengan aspirasi UTHM untuk terus menerajui pendidikan TVET dan teknologi masa hadapan di Malaysia.
#FKEEUTHM
#FokusKualitiEndahEtika
#UTHMJohor
#UTHMproducesProfessional
#EVUTHM






