Skip to main content

Program Muafakat Santai Erat Ikatan Penasihat Akademik dan Pelajar

FKEEevents | 17.4.2026 | Di institusi pengajian tinggi, hubungan Penasihat Akademik & Kerjaya (PAK) dan pelajar adalah sangat penting untuk memastikan para pelajar berada di landasan yang betul dan diberi sokongan sewajarnya dalam mencapai kejayaan dalam pengajian mereka. Justeru, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia telah mengambil inisiatif menganjurkan “FKEE Muafakat Santai 1.0 (MS 1.0) 2026” bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM. Program ini merupakan program penjenamaan semula dengan menggabungkan program Jalinan Muafakat dan program Lepak Santai yang telah diadakan sebelum ini secara bergilir-gilir setiap tahun.

Program MS 1.0 secara spesifiknya bertujuan menyediakan waktu dan ruang yang kondusif kepada PAK untuk beramah mesra dengan para pelajar di bawah jagaan mereka, sebagai salah satu usaha merapatkan hubungan antara PAK dan pelajar. Program yang berjalan dengan sangat meriah ini bermula dengan aktiviti senamrobik, sesi makan pagi dan ramah-mesra bersama PAK dan pelajar, diikuti dengan beberapa acara sukaneka dan cabutan bertuah. Aktiviti fizikal sebegini bukan sahaja dapat menyihatkan badan dan meredakan tekanan, malah dapat mengalihkan seketika tumpuan pelajar daripada gajet atau media sosial serta memberi ruang kepada para pelajar untuk berinteraksi dan meluaskan jaringan kenalan bersama-sama para pelajar lain.

Turut diadakan adalah Anugerah Penasihat Akademik dan Kerjaya Cemerlang dan Anugerah Inspirasi Pelajar FKEE sebagai penghargaan kepada komitmen PAK dalam menjaga para pelajarnya dan juga penghargaan kepada pelajar-pelajar yang boleh menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain, dalam usaha menggalakkan amalan sahsiah baik. Menurut penaung program MS 1.0 merangkap Dekan FKEE, Prof. Ts. Dr. Asmarashid bin Ponniran, “FKEE sangat mementingkan hubungan baik di antara PAK dan pelajar kerana kami percaya, dengan hubungan yang baik, pengurusan pengajian pelajar akan menjadi bertambah lancar dan para pelajar tidak merasa bersendirian dalam perjalanan mereka menuntut ilmu. In sya Allah, para pelajar seronok belajar di FKEE kerana mereka merasa seperti berada bersama-sama keluarga sendiri di sini”.

Turut hadir dalam program ini ialah Prof. Madya Dr. Lukman Hanif bin Muhammad Audah, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa (TDAA) FKEE; Prof. Madya Ir. Dr. Nur Hanis Binti Muhamad Radzi, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TDHEPA) FKEE; Prof. Ir. Dr. Erwan bin Sulaiman, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Penerbitan (TDPP) FKEE, ketua-ketua jabatan, staf-staf pengurusan dan pentadbiran, serta para penolong jurutera FKEE.

Terima kasih diucapkan kepada jawatankuasa pelaksana, Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTHM, PAK dan para pelajar FKEE serta semua pihak yang terlibat.
Semoga momentum ramah-mesra di antara PAK dan pelajar FKEE kekal terjalin bukan sahaja sepanjang pengajian pelajar, malah selepas pelajar selesai pengajian.

Oleh: Dr. Tasiransurini binti Ab Rahman

#FKEEUTHM
#HEPAFKEE
#KKEUTHM
#HEPAUTHM
#UTHMPrihatin

 

MS0


MS1


MS2


MS3


MS4


MS5


MS6


MS7


MS8


MS9


MS10


MS11


MS12


MS13


MS14


MS15


MS16


MS17